Macam Mana IB Forex Dibayar? Apa yang IB Jarang Beritahu Anda
Kalau anda buka akaun forex melalui link seseorang, besar kemungkinan orang itu ialah IB (Introducing Broker). IB dibayar oleh broker setiap kali anda trade.
Saya sendiri mula dalam industri ini sebagai IB. Kemudian saya bekerja di dalam broker, termasuk sebagai BDM yang menguruskan IB, dan akhirnya mengendalikan operasi broker. Jadi saya pernah berada di kedua-dua pihak: yang menerima bayaran, dan yang membayar.
Artikel ini terangkan apa yang jarang dikongsi secara terbuka: dari mana sebenarnya duit untuk bayar IB datang, dan apa maksudnya untuk anda sebagai trader.
Ringkasnya: IB biasanya dibayar rebate bagi setiap lot yang anda trade. Kadang-kadang rebate itu lebih besar daripada spread yang anda bayar. Bila itu berlaku, broker perlu cari duit dari tempat lain, dan tempat lain itu selalunya ialah akaun anda.
Apa itu IB?
IB ialah individu atau syarikat yang membawa trader kepada broker. Sebagai balasan, broker bayar IB komisen berdasarkan aktiviti dagangan trader tersebut.
IB boleh jadi:
- Mentor atau “coach” forex
- Pemilik kumpulan Telegram atau channel YouTube
- Penyedia signal
- Kawan yang ajak anda buka akaun
Menjadi IB bukan sesuatu yang salah. Ramai IB yang jujur dan betul-betul membantu trader mereka. Tetapi anda perlu faham struktur bayarannya untuk tahu bila ada konflik kepentingan.
Cara IB dibayar
1. Rebate per lot
Ini model yang paling biasa. Setiap kali anda trade 1 lot, IB menerima jumlah tetap. Sebagai gambaran, rebate sekitar $12 per lot adalah angka yang biasa dalam industri, walaupun ia berbeza mengikut broker, instrumen dan perjanjian.
Maksudnya, IB dapat bayaran sama ada anda untung atau rugi. Yang penting bagi IB ialah berapa banyak lot anda trade.
2. Deal PnL (perkongsian keuntungan broker)
Ada IB yang membuat perjanjian dengan broker untuk berkongsi PnL, iaitu keuntungan broker daripada akaun klien yang dibawa.
Dalam broker yang menyimpan risiko klien sendiri (model B-book), keuntungan broker datang daripada kerugian klien. Jadi dalam perjanjian ini, IB untung apabila anda rugi.
Ini konflik kepentingan yang paling serius, dan klien hampir tidak pernah diberitahu.
Baca juga: Macam Mana Broker Forex Buat Duit? untuk penjelasan A-book dan B-book.
Dari mana broker dapat duit untuk bayar IB?
Ramai orang anggap IB dibayar daripada spread. Kadang-kadang betul, tetapi bukan selalu.
Ambil contoh gold (XAUUSD):
| Nilai per 1 lot | |
|---|---|
| Spread gold 12 point (contohnya 2650.00 / 2650.12), contract 100 oz | $12 |
| Rebate yang dibayar kepada IB | $24 |
| Beza | −$12 |
Spread yang anda bayar hanya $12, tetapi broker bayar IB $24. Jadi dari mana datangnya $12 lagi?
Daripada pengalaman saya, ada dua kemungkinan:
1. Poket broker sendiri. Broker sanggup rugi pada setiap lot untuk menarik IB besar, dengan harapan dapat untung dari tempat lain. Contohnya daripada kerugian klien dalam model B-book.
2. Keuntungan tersembunyi melalui plugin. Platform dagangan broker boleh dipasang dengan plugin di bahagian server. Plugin ini boleh mengambil keuntungan kecil secara senyap ketika trader buka atau tutup posisi. Contohnya harga pelaksanaan yang sedikit lebih buruk daripada yang sepatutnya. Ia tidak muncul sebagai caj, jadi kebanyakan trader tidak perasan.
Nilainya kecil setiap kali, tetapi bila dikumpul dari ribuan trade setiap hari, jumlahnya besar.
Ini sebab saya selalu katakan: kalau tawaran rebate kepada IB nampak terlalu tinggi berbanding spread, seseorang yang lain sedang membayarnya. Dan orang itu selalunya ialah trader.
Apa yang IB jarang beritahu anda
Masalah terbesar bukan IB dibayar, tetapi ketelusan.
Ramai IB tidak jujur tentang keadaan sebenar broker yang mereka promosikan. Sebabnya biasanya salah satu daripada ini:
- IB terikat dengan perjanjian bersama broker
- IB kenal secara peribadi dengan pemilik broker
- IB dapat rebate atau deal yang terlalu bagus untuk dilepaskan
Jadi bila anda tanya “broker ni selamat ke?”, jawapan yang anda terima mungkin bukan jawapan yang neutral.
IB toxic: taktik yang merugikan trader
Galakkan overtrade
Sebab IB dibayar ikut lot, sesetengah IB akan menggalakkan klien untuk trade lebih kerap dan dengan lot lebih besar. Lebih teruk lagi jika IB itu juga ada deal PnL dengan broker: setiap kali klien rugi, IB untung dua kali.
Tanda-tandanya:
- Signal yang terlalu banyak setiap hari
- Galakan untuk “naikkan lot” atau “recover cepat” selepas rugi
- Promosi bonus deposit besar yang memerlukan volume dagangan tinggi
- Galakan guna leverage maksimum
Abuse sistem broker
Ada juga IB toxic yang menyasarkan broker, bukan trader. Contohnya IB yang membawa klien palsu menggunakan dokumen identiti orang lain atau dokumen yang tidak lagi aktif, untuk mengeksploitasi sistem broker melalui teknik seperti arbitrage, trade balance dan HFT.
Kesannya kembali kepada trader biasa. Broker yang kerap diserang akan mengetatkan syarat, memperlahankan withdrawal, atau menukar polisi untuk semua klien. Jika identiti anda pernah dipinjam untuk buka akaun, anda juga boleh terlibat dalam masalah tersebut.
Jangan sesekali pinjamkan IC, pasport atau dokumen anda kepada sesiapa untuk buka akaun dagangan.
Ciri-ciri IB yang baik
IB yang baik tidak sukar dikenali:
- Memberi pendidikan, bukan sekadar signal dan link pendaftaran
- Konsisten dalam membina komuniti dan networking jangka panjang
- Ajar risk management walaupun ia bermaksud klien trade lebih sedikit
- Jujur tentang kelemahan broker yang dipromosikan
- Tidak mendesak anda deposit atau naikkan lot
IB yang baik faham bahawa klien yang bertahan lama lebih bernilai daripada klien yang hangus dalam sebulan.
Soalan yang patut anda tanya IB anda
Sebelum buka akaun melalui mana-mana IB, tanya:
- Anda dibayar macam mana? Rebate per lot, atau ada perkongsian PnL?
- Broker ini dikawal selia oleh siapa? Minta nama pengawal selia dan nombor lesen, kemudian semak sendiri.
- Kalau saya ada masalah withdrawal, apa yang anda boleh buat?
- Kenapa broker ini, dan bukan yang lain?
IB yang jujur tidak akan marah dengan soalan ini. Jika mereka mengelak, itu sudah satu jawapan.
Kesimpulan
IB biasanya dibayar rebate setiap lot, dan ada yang turut berkongsi keuntungan broker daripada kerugian klien. Apabila rebate lebih besar daripada spread, broker perlu tampung beza itu, sama ada dari poket sendiri atau melalui keuntungan tersembunyi daripada pelaksanaan dagangan anda.
Ini bukan bermaksud semua IB atau broker tidak jujur. Tetapi bila anda faham aliran duit, anda boleh nampak siapa yang berada di pihak anda.
Artikel seterusnya dalam siri Dari Dalam Broker akan membincangkan kenapa spread melebar ketika berita besar.
Jika anda baru bermula, baca Cara Trade Forex untuk Pemula dan sentiasa kira risiko dengan Kalkulator Lot Size.