Macam Mana Broker Forex Buat Duit? Penjelasan Jujur dari Dalam Industri
Kebanyakan trader tak pernah tanya soalan ni: broker saya dapat duit dari mana?
Saya dah lebih 10 tahun dalam industri forex. Bermula sebagai IB, kemudian bekerja di broker antarabangsa dari bahagian support sehingga BDM, dan pernah mengendalikan operasi broker. Jadi saya pernah duduk di kedua-dua belah meja: di depan sebagai orang yang bawa trader, dan di belakang tabir di mana keputusan dibuat.
Dalam siri Dari Dalam Broker, saya tak akan beri jawapan “selamat” yang biasa anda baca di laman web broker. Saya akan cerita apa yang saya nampak.
Ringkasnya: broker buat duit daripada setiap trade anda (spread, komisen, swap) tanpa mengira anda untung atau rugi. Kebanyakan broker juga untung apabila anda rugi. Dan apabila anda mula untung secara konsisten, ramai broker ada cara untuk memastikan house always wins.
Sumber pendapatan broker yang anda nampak
Ini kos yang dipaparkan di platform anda. Anda bayar setiap kali trade, menang atau kalah.
1. Spread
Spread ialah beza harga buy dan sell. Broker dapat harga daripada penyedia kecairan (liquidity provider), kemudian tambah sedikit sebelum harga sampai kepada anda. Tambahan ini dipanggil markup.
| Harga | |
|---|---|
| Harga daripada liquidity provider | 1.08500 / 1.08506 (0.6 pip) |
| Harga di platform anda | 1.08495 / 1.08511 (1.6 pip) |
| Markup broker | 1.0 pip |
Pada 1 lot standard EURUSD, 1 pip bernilai $10. Jadi markup 1 pip bermaksud broker dapat sekitar $10 bagi setiap lot, walaupun trade anda rugi.
2. Komisen
Akaun “raw spread” atau “ECN” tunjuk spread rendah tetapi caj komisen setiap lot. Bila bandingkan akaun, sentiasa kira spread + komisen.
3. Swap (caj overnight)
Trade yang dibiarkan terbuka melepasi waktu tutup harian akan dikenakan atau diberi swap. Broker boleh menambah markup di sini juga. Untuk trader yang simpan posisi lama, swap boleh jadi lebih mahal daripada spread. Akaun swap-free pula biasanya gantikan swap dengan caj lain.
4. Caj lain
- Caj deposit atau withdrawal
- Kadar tukaran mata wang semasa deposit dan withdrawal (contohnya MYR ke USD)
- Caj akaun tidak aktif
Sumber pendapatan yang anda tak nampak
B-book: broker jadi pihak lawan anda
Bila anda tekan buy, broker boleh hantar order anda ke pasaran (A-book), atau simpan risiko itu sendiri (B-book).
Dalam B-book, broker menjadi pihak bertentangan dalam trade anda:
- Jika anda rugi, kerugian itu menjadi keuntungan broker
- Jika anda untung, broker yang bayar
Majoriti trader runcit rugi dalam jangka panjang. Jadi untuk kebanyakan broker, kerugian klien ialah sumber pendapatan yang besar.
Apa yang berlaku bila anda mula untung
Ini bahagian yang broker tak akan tulis di laman web mereka.
Broker menguruskan akaun klien melalui sistem admin MetaTrader (MT Manager / MT Admin). Di sini, akaun boleh diletakkan dalam group yang berbeza, dan setiap group boleh ada tetapan yang berbeza.
Trader yang konsisten untung biasanya dipindahkan ke group “high risk”. Dari situ, pelbagai plugin boleh diaktifkan pada akaun tersebut, contohnya:
- Delay execution: order anda dilaksanakan lambat, jadi harga dah bergerak sebelum masuk
- Hidden spread: spread pada akaun anda lebih lebar daripada yang dipaparkan secara umum
- Had bilangan order: anda tak boleh buka order sebanyak yang anda mahu
- Hidden take profit: take profit anda tidak dilaksanakan seperti yang sepatutnya
- Stop loss hunting: harga pada akaun anda disentuh cukup untuk kena stop loss
Anda tak akan nampak semua ini sebagai “caj”. Anda cuma rasa execution makin teruk, slippage makin kerap, dan trade yang sepatutnya untung tiba-tiba tak jadi.
Mungkin ada broker yang betul-betul jujur. Tapi dari pengalaman saya, kalau ada 10 broker, mungkin 2 sahaja yang begitu. Selebihnya akan buat apa yang perlu untuk pastikan mereka boleh survive.
“Broker ni regulated tier-1, mesti selamat”
Ini salah faham paling besar dalam kalangan trader Malaysia.
Kebanyakan broker besar memang ada lesen daripada pengawal selia tier tertinggi. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga ada lesen dari jurisdiksi yang tidak ketat, seperti Mauritius, Saint Vincent and the Grenadines, Vanuatu dan lain-lain.
Yang ramai trader tak sedar: akaun anda sebagai trader dari Malaysia selalunya didaftarkan di bawah entiti offshore itu, bukan di bawah entiti tier-1 yang logonya dipaparkan di homepage.
Di bawah entiti offshore:
- Aliran tunai daripada klien hanya berpusing dalam PSP (payment service provider) dan tidak diaudit seperti di bawah pengawal selia ketat
- Penyelesaian (settlement) sering dibuat dalam USDT atau mata wang kripto lain
- Perlindungan yang anda sangka anda ada, sebenarnya tidak terpakai kepada anda
Jadi lesen tier-1 pada nama jenama tidak bermaksud akaun anda dilindungi oleh lesen itu.
Withdrawal: bila broker tak mahu bayar
Ya, ini berlaku, termasuk pada broker yang nampak besar dan dikenali.
Dalam client agreement yang kita semua tandatangan semasa daftar, hampir selalu ada klausa yang memberi broker hak penuh untuk mengambil tindakan jika broker “rasa” klien melanggar etika dagangan (abusive trading, trading misconduct dan seumpamanya). Perkataan ini sengaja dibiarkan luas.
Dengan klausa ini, broker ada pelbagai cara untuk menyekat withdrawal. Jika keadaan jadi besar, pilihan terakhir mereka biasanya ialah pulangkan modal sahaja dan batalkan keuntungan, untuk jaga nama.
Kebanyakan broker ada klausa yang hampir sama. Jadi berpada-padalah.
Apa yang anda boleh buat untuk lindungi diri
- Semak entiti mana akaun anda didaftarkan. Lihat nama syarikat dalam client agreement dan emel pengesahan akaun, bukan logo di homepage.
- Baca terms and conditions, terutamanya klausa tentang abusive trading, discretion, pembatalan keuntungan dan withdrawal.
- Uji withdrawal awal dengan jumlah kecil sebelum deposit besar.
- Withdraw keuntungan secara berkala. Jangan biarkan baki besar duduk lama dalam akaun broker.
- Simpan rekod: trade history, screenshot harga, dan semua emel dengan broker.
- Perhatikan perubahan execution. Jika slippage, requote atau penolakan order tiba-tiba meningkat selepas anda mula untung, akaun anda mungkin sudah dipindah group.
- Jangan overtrade. Setiap trade ialah pendapatan pasti broker.
- Berhati-hati dengan bonus besar dan leverage melampau. Kedua-duanya menggalakkan anda trade lebih besar dan lebih kerap.
Soalan lazim
Adakah broker boleh manipulasi harga pada akaun saya? Secara teknikal, boleh. Melalui grouping dan plugin di bahagian server, tetapan akaun anda boleh berbeza daripada akaun lain. Lesen tier-1 pada jenama broker tidak menjamin akaun anda diuruskan di bawah peraturan yang sama, terutamanya jika akaun anda didaftarkan di bawah entiti offshore.
Macam mana nak tahu broker saya A-book atau B-book? Kebanyakan broker tidak akan dedahkan. Label “ECN” atau “STP” pada nama akaun tidak semestinya bermaksud order anda dihantar ke pasaran.
Kalau saya untung banyak, adakah akaun saya akan disekat? Ia boleh berlaku. Broker boleh guna klausa dalam client agreement untuk menyekat withdrawal atau membatalkan keuntungan, dan dalam banyak kes hanya memulangkan modal. Sebab itu penting untuk baca terma, withdraw secara berkala, dan simpan semua rekod.
Jadi semua broker penipu? Tidak semua. Tetapi anda patut anggap broker sebagai perniagaan yang mahu untung daripada anda, bukan rakan yang menjaga kepentingan anda. Lindungi diri anda dengan langkah di atas.
Kesimpulan
Broker forex buat duit daripada spread, komisen, swap dan caj lain, dan kebanyakannya juga daripada kerugian klien melalui B-book. Bila klien mula untung, ramai broker ada alat untuk mengubah keadaan: grouping high risk, plugin execution, lesen offshore, dan klausa luas dalam client agreement.
Ini bukan untuk buat anda takut trade. Ini supaya anda trade dengan mata terbuka.
Seterusnya, baca Macam Mana IB Forex Dibayar? untuk tahu dari mana duit rebate IB sebenarnya datang.
Jika anda baru bermula, baca Cara Trade Forex untuk Pemula dan kira risiko setiap trade dengan Kalkulator Lot Size.